Baru-baru ini, seorang kawan lama menegur saya secara online kerana telah mendengar berita yang saya akan menamatkan zaman bujang tidak lama lagi. Begitu gembira katanya sehingga dirasakan badannya menggeletar. Seingat saya, pernah juga beberapa kali mengalami kegembiraan seperti itu yang memberi excitement secara fizikal, apabila mengecapi sesuatu yang semestinya sangat signifikan dalam hidup saya.
Saya sendiri terkejut mendengar betapa gembiranya sahabat saya itu dan teringat tentang hubungan kami yang sangat rapat sekolah dahulu. Saya sempat belajar bersamanya selama hampir tiga tahun sehingga masuk ke alam universiti. Kesibukan setelah melangkah ke alam pekerjaan, setelah sebelumnya berhempas pulas untuk mendapatkan segulung ijazah hampir-hampir membuatkan saya lupa tentang itu.
Teringat kepada satu pengajaran ketika mengikuti kursus pengurusan diri yang terkenal, 7 Habits of Highly Effective People. Dr. Stephen Covey telah mebawakan satu demonstrasi bagaimana seorang peserta telah diminta untuk memenuhkan satu balang kaca dengan beberapa biji batu besar dan batu-batu kerikil. Dengan yakin, peserta tersebut memasukkan dahulu kesemua batu-batu kerikil ke dalam balang. kemudian memasukkan batu-batu besar tersebut, satu demi satu. Dia memilih dengan teliti batu-batu tersebut yang tertulis di atasnya beberapa perkara seperti Children, Big Customer, Vacation, dan perkara-perkara lain yang secara lumrahnya mempunyai kurang priority dan hanya akan dilakukan pada waktu lapang. Ternyata, dia gagal memasukkan kesemua batu-batu besar tersebut. Tanpa putus asa, dia mengubah strategi dengan mengambil satu balang kaca yang baru dan memasukkan kesemua batu-batu besar dahulu diikuti batu-batu kecil. Akhirnya semua batu-batu tersebut berjaya dimasukkan ke dalam balang.
Batu-batu kerikil tersebut adalah simbolik kepada rutin-rutin harian yang tidak akan habis. Kita perlu belajar, bekerja, tidur, makan, menghadapi kesesakan lalulintas dan sebagainya. Batu-batu besar pula adalah simbolik kepada perkara-perkara lain yang kita suka lakukan tetapi mungkin tidak sempat atau kurang penting dilakukan kerana kesibukan melayan karenah ‘batu-batu kerikil’ tadi. Jangan sampai kita kena memilih antara Children dan Big Business Opportunity, walhal kedua-duanya mungkin boleh dicapai dengan penyusunan masa yang baik.
Antara pengajaran yang saya dapat dari demonstrasi ini ialah bagaimana dalam kesibukan kita belajar, bekerja, dan mencari rezeki, banyak perkara-perkara lain yang kita tinggalkan. Berapa kali kita membuat kebaikan, bersedekah, membantu orang lain, menziarahi sahabat, bertegur sapa dengan jiran tetangga, menghubungi ibubapa di kampung, hatta menziarahi tanah perkuburan untuk bermuhasabah mengingati mati. Secara matematiknya perkara-perkara ini tidak akan menambah jumlah wang di bank, tidak mengubah nilai saham syarikat mahupun menaikkan reputasi kita di hadapan pengurus. Namun, perkara-perkara ini jika ditinggalkan mungkin mampu menghilangkan nilai kehidupan itu sendiri. Takut menyesal pada kemudian hari. Duduk sebentar dan berfikir sejenak tentang hala tuju hidup agar kita masih berjalan di atas jalan yang kita benar-benar hendak melaluinya. Fikirkan bagaimana penghujungnya nanti.
Kebijaksanaan peserta tadi yang mengutamakan ‘batu-batu besar’ memberi satu petunjuk bahawa kehidupan ini tidak sekadar perlu kepada pembahagian masa yang baik, perancangan, dan disipilin diri tetapi soalan yang pertama sekali perlu ditanya adalah, perkara apa yang paling penting dalam diri kita yang perlu diutamakan di atas perkara-perkara lain dan neraca apa yang kita gunakan untuk menilai.
This life, Live it Once, Live it Right..


